Thursday 8 September 2011

Pilihan Orang Nombor 1 Dalam Sukan Skuasy

Datuk Nicol Ann David ialah seorang pemain skuasy profesional wanita kelahiran Malaysia yang menjadi wanita Asia pertama yang menduduki tangga no.1 dunia dalam sukan skuasy wanita. Beliau pernah memenangi gelaran Terbuka British pada tahun 2005, 2006 dan 2008, dan juga gelaran Terbuka Dunia pada tahun 2005, 2006, 2008, 2009 dan 2010.
Dilahirkan di Pulau Pinang, Nicol merupakan anak kepada Ann Marie David, seorang guru sekolah berketurunan Cina dan Desmond David, seorang jurutera berketurunan India yang pernah menjadi olahragawan dan pemain bola sepak negeri. Sewaktu muda, Nicol paling cemerlang dalam mata pelajaran Matematik di sekolah; beliau pernah bercita-cita menjadi jurutera. Nicol mendapat tujuh A dalam Penilaian Menengah Rendah dan tujuh A lagi dalam Sijil Pelajaran Malaysia, sewaktu menelaah di Sekolah Menengah Kebangsaan Convent Green Lane di Green Lane, Pulau Pinang.
Nicol David mula bermain skuasy sewaktu berusia lima tahun, kemudian menerima bimbingan jurulatih sejak usia lapan tahun. Ketika berlatih di Pusat Skuasy Bukit Dumbar, bakat Nicol ditemui oleh Ee Phoeh Hoon, yang kemudiannya memujuk pemudi ini supaya mewakili negeri asalnya, Pulau Pinang, bersama adik-beradiknya. Kerjaya skuasy Nicol bermula pada tahun 1992, apabila beliau menggondol pingat perak dalam kategori Bawah-14 Kejohanan Junior Negeri Pulau Pinang. Juga pada tahun 1992, beliau mendapat kemenangan sulungnya di peringkat kebangsaan di Kejohanan Antara Negeri Junior Kebangsaan Milo-Dunlop Sport, di mana beliau mendapat pingat perak dalam kategori Bawah-16.


Datuk Nicol menganggap dirinya membina kerjaya dalam sukan skuasy kerana berbeza dengan seorang artis, mereka punyai beberapa bakat yang boleh diambil kira sebagai produk. Manakala beliau hanya tertumpu kepada sukan skuasy  dan hala tuju seorang ahli sukan ialah mencapai kemenangan ditahap yang lebih tinggi dan ke peringkat dunia.
Oleh itu beliau sentiasa berusaha untuk mempertinggikan prestasi permainan beliau dengan maju menghadapi lawan yang lebih kuat, dan sentiasa berusaha untuk kekal ditahap paling atas.
Sebagai seorang ahli sukan yang berjaya, beliau juga menjaga penampilan diri dan menjauhi kontroversi atau isu-isu negatif, kerana seperti seorang selebriti hiburan, penajaan adalah sumber kewangan yang amat besar dan menguntungkan.
Syarikat tidak akan mengambil selebriti yang mempunyai penampilan yang tidak menarik atau sering menimbulkan kontroversi hingga tidak disukai peminat.
Kos pelaburan sebagai ahli sukan yang berjaya juga agak tinggi, iaitu merangkumi kos menjaga kesihatan tubuh badan dan prestasinya, selain dari kos berkaitan latihan, jurulatih dan peralatan yang digunakan. Untuk mendapatkan penajaan, dan dipilih sebagai duta produk, penampilan dan penjagaan diri juga sering perlukan pembaharuan .   

Pilihan Orang Nombor 1 dalam Hiburan


Dato’ Siti Nurhaliza binti Tarudin telah mula sebagai artis rakaman pada tahun 1996, iaitu setahun selepas beliau memenangi Juara Bintang HMI anjuran RTM pada tahun 1995. Beliau muncul dengan album pertama, Siti Nurhaliza, dibawah Suria Records semasa masih menduduki SPM.
Dari seorang pelajar sekolah yang memasuki pertandingan nyanyian, beliau diasuh dan dipimpin oleh komposer Adnan Abu Hassan, bukan sekadar menjadi ’recording artist’, tetapi seorang yang dinobatkan  Penyanyi Nombor 1 Negara untuk sekian lama.
Populariti Siti seterusnya bukanlah diraih dengan mudah, tetapi dalam beliau berusaha memenangi pelbagai pertandingan dalam dan luar Negara, beliau juga cekal menangani pelbagai gossip dan tohmahan yang bukan calang-calang orang sanggup melaluinya dan masih keluar sebagai penyanyi yang paling popular.
Setelah Berjaya mengadakan konsert solo di Royal Albert Hall, London dalam bulan April 2005, Siti kini mempunyai pertunjukan sendiri dalam TV— iaitu SITI.
Siti menganggap sekiranya seseorang yang mempunyai bakat dan keinginan untuk berjaya dalam industry nyanyian atau hiburan, dia mestilah menganggap bakat dan kebolehannya, termasuk nanyian, lakonan, pengacaraan dan sebagainya, 
sebagai produk yang mesti diperbaiki selalu untuk kekal digemari ramai dan seterusnya albumnya mencatat jualan yang tinggi.
Disamping itu penampilan diri hendaklah sentiasa disukai orang ramai, dan tidak ada kontroversi atau cerita-cerita yang negatif.
Disebab itu, sebagai seorang penyanyi, Datuk Siti terpaksa melabur juga, seperti mengambil kelas-kelas nanyian, tarian, ’showmanship’, pertuturan dan penampilan diri yang termasuk apa yang dia pakai dan tempat-tempat yang dia pergi semuanya menjadi perhatian peminatnya.
Disebabkan keperluan itu maka beliau sentiasa peka dengan perkembangan dunia fesyen dan penjagaan rupa dan badan. Ini juga memerlukan kos pelaburan yang agak tinggi.
Seorang penyanyi atau penghibur yang berjaya mesti juga sentiasa menjaga keadaan kewangannya seperti satu perniagaan. Sesuatu jemputan yang diambil mesti ada lebih atau untungnya, jika tidak pasti perjalanan bisnesnya tidak akan lancar malah akan bermasalah. Sekali masalah kewangan ini dibiar terjadi, maka masalah tersebut akan terus mengaitkan persembahan seterusnya.
Sebagai seorang penghibur, tidak ada institusi perbankan yang sanggup memberi pinjaman dengan mudah. Namun, Datuk Siti telah berusaha mendapatkan kemudahan kewangan untuk syarikat produksinya dengan mengemukakan cagaran. Oleh itu, kemudahan pinjaman tersebut beliau guna dengan amat berhati-hati untuk menentukan ianya dapat menjana pendapatan seperti dirancang dan seterusnya pinjaman tersebut dibayar balik.
Sebagai seorang selebriti juga beliau harus menjaga nama baiknya agar tidak menghadapi masalah dengan pihak bank sehingga menjejas namanya dalam pasaran. Inilah sebabnya beliau tidak pernah mengguna dana dari bank untuk belanja persendirian, melainkan untuk bisnesnya dan yang sudah pasti akan memberi pulangan yang setimpal.
Semua pembelian harta persendirian juga dibeli dengan keuntungan dari bisnes atau duit yang dikumpul dari bayaran ‘show’nya atau penajaan.
Disiplin ini mestilah diikuti oleh mereka yang ingin melangkah jauh dalam ’entertainment business’ ini, agar peluang untuk memanfaatkan bakat yang ada tidak tersangkut ditengah jalan atau tidak kesampaian langsung.

Pilihan Orang Nombor 1 Dalam Keusahawanan

Kekayaan Tan Sri Syed Mokhtar kini adalah dalam bentuk pegangan saham dalam Malaysia Mining Corporation Berhad (MMC), BERNAS, Malakoff Berhad, Johor Port Berhad, Impian Teladan Sdn Bhd dan beberapa lagi. 

Tan Sri Syed Mokhtar adalah seorang yang komited dan aktif dalam kerja amal jariah melalui Yayasan Al-Bukhary dan amat kurang menonjol diri atau mendapat publisiti.
Melalui Yayasan Al-Bukhary Tan Sri telah membina banyak masjid diserata negeri dan sebuah Muzium Kesenian Islam yang terletak di Jaan Perdana, Kuala Lumpur.
Baru-baru ini beliau disenarai sebagai orang yang ke 7 terkaya di Malaysia dan juga merupakan Bumiputera yang terkaya dengan nilai kekayaan melebihi RM7 billion.
Namun begitu, beliau sendiri merupakan seorang yang amat ‘low profile’ dan jarang sekali gambarnya disiar dalam media elektronik atau dada akhbar.
Yang sering didengar ialah kerja-kerja amalnya melalui Yaysan Al-Bukahry.
Majalah Jejak K&K kini sedang berusaha mendapatkan satu sesi temu bual bersama Tan Sri dalam masa yang terdekat ini.



Pilihan Orang Nombor 1 Dalam Kerjaya Politik Malaysia



Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Sri Mohd. Najib dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke-6 pada 3 April 2009. Beliau menggantikan Tun Abdullah Ahmad Badawi yang mengambil keputusan tidak mempertahankan jawatan Presiden UMNO pada pemilihan parti.
Dato’ Sri Najib, anak sulung kepada Perdana Menteri Malaysia yang ke-2, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein, dilahirkan di Kuala Lipis, Pahang. Beliau menerima pendidikan rendah dan menengah di St. John’s Institution. Beliau kemudiannya menyambung pelajaran peringkat menengah di Malvern Boy’s College, Worcestershire, England. Sebaik menamatkan pendidikan peringkat menengah, Dato’ Sri Najib melanjutkan pengajian di University of Nottingham sehingga memperoleh ijazah dalam ekonomi perindustrian pada 1974.
Sekembalinya ke tanah air, beliau berkhidmat sebagai eksekutif di syarikat petroleum Negara, Petronas selama dua tahun. Namun pemergian bapanya pada 1976, mendorong Dato’ Sri Najib menceburi bidang politik. Beliau dipilih sebagai calon Barisan Nasional (BN) untuk bertanding di kerusi Parlimen Pekan ekoran kematian bapanya. Kesedihan seluruh Negara ekoran pemergian Tun Abdul Razak dan sebagai menghargai sumbangan Allahyarham kepada pembangunan negara menyaksikan Dato’ Sri Najib memenangi kerusi Parlimen Pekan tanpa bertanding ketika berusia 23 tahun.
Saat itulah yang merubah corak kehidupan Dato’ Sri Najib yang mencurahkan khidmatnya dalam politik dan kerajaan. Ekoran kemenangan tanpa bertanding sebagai Ahli Parlimen Pekan pada 1976, Dato’ Sri Najib dilantik sebagai Timbalan Menteri Tenaga, Telekomunikasi dan Pos. Beliau kemudiannya dilantik Timbalan Menteri Pelajaran dan selepas itu Timbalan Menteri Kewangan. Pada pilihan raya umum 1982, beliau bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar di Pekan dan kemudiannya dilantik sebagai Menteri Besar Pahang sehingga tahun 1986.
Dato’ Sri Najib dilantik Menteri kebudayaan, Belia dan Sukan ekoran kemenangannya pada pilihan raya umum 1986 apabila beliau kembali bertanding kerusi Parlimen Pekan. Di bawah terajunya, Malaysia mencipta sejarah apabila buat pertama kali memperoleh pencapaian yang terbaik di Sukan Asia Tenggara (Sukan SEA). Beliau juga memperkenalkan Dasar Sukan Negara yang menggariskan pembangunan sukan dan memperkenalkan ganjaran insentif kepada atlit negara yang berjaya memenangi pingat di Sukan Olimpik.
Pada tahun 1990, Dato’ Sri Najib dilantik sebagai Menteri Pertahanan oleh Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad. Beliau memacu Kementerian Pertahanan dengan memodenkan Angkatan Tentera Malaysia melalui peningkatan keupayaan, pemerolehan dan latihan strategik. Usaha pemodenan yang diperkenalkannya menyaksikan Malaysia memperoleh aset-aset baru seperti pesawat buatan Rusia, MiG 29, Boeing F18 Super Hornet, kapal frigate F-2000, artileri senjata 155m dan menaik taraf sistem pertahan udara negara dengan perolehan sistem radar baru. Soal kebajikan anggota Angkatan Tentera juga diberi perhatian oleh beliau termasuk meningkatkan kemudahan perumahan dan elaun anggota.
Pada tahun 1995, Dato’ Sri Najib dilantik menerajui kementerian yang lebih mencabar, iaitu sebagai Menteri Pelajaran. Di bawah terajunya, sistem pendidikan negara mengalami perubahan yang besar termasuk memperkenalkan Akta pelajaran 1996. Perubahan demi perubahan yang diperkenalkannya menyaksikan sistem pelajaran negara terutama institusi pengajian tinggi mengalami perubahan besar apabila mereka dibenar menawarkan kursus yang lebih banyak, kepelbagaian pilihan dan pendekatan baru dalam bidang pengajaran dan pembelajaran. Kini rakyat Malaysia mempunyai banyak pilihan dan tempat untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi. Dalam pada itu, jumlah penuntut dari negara luar negara yang melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tempatan dan asing di negara ini juga semakin bertambah.
Malah, Dato’ Sri Najib memainkan peranan yang besar untuk memperkenalkan sistem pendidikan bertaraf dunia di Malaysia dan meletakkan negara sebagai hab pembelajaran serantau dan pusat kecemerlangan. Di sebalik itu, perhatian lebih diberikan untuk melahirkan guru-guru terlatih menerusi meningkatkan sijil perguruan kepada status diploma, supaya guru-guru dalam kategori tersebut dapat menerima gaji permulaan bulanan yang lebih tinggi dan projek perumahan khas untuk guru-guru.
Pada pilihan raya umum 1999, Dato’ Sri Najib menerima keputusan mengejutkan apabila hanya memperoleh majoriti 241 undi di kawasan Parlimen Pekan yang majoriti pengundinya berketurunan Melayu, berbanding majoriti lebih 10,000 undi pada pilihan raya sebelumnya. Keputusan itu mengejutkan beliau dan para pemerhati politik. Bagaimanapun ia tidak boleh dianggap sebagai sesuatu yang amat mengejutkan memandangkan pilihan raya itu diadakan ketika suasana politik yang tidak menentu.
Selepas pilihan raya umum itu, beliau dilantik semula sebagai Menteri Pertahanan untuk kali kedua dan meneruskan usaha ke arah pemodenan Angkatan Tentera, setelah negara melepasi krisis ekonomi pada 1997. Antara perolehan utama termasuk pembelian pesawat termoden buatan Rusia, Sukhoi SU30 MKM, kapal selam yang sekian lama menjadi hasrat Tentera Laut Diraja Malaysia dan kereta kebal dari Poland. Juga sistem pertahan udara negara, Jernas untuk kegunaan Tentera Darat. Bagi anggota tentera, beberapa elaun dipertingkatkan termasuk elaun penerbangan untuk juruterbang tentera udara serta kadar gaji yang lebih tinggi bagi anggota baru.
Pilihan raya umum 2004 yang diadakan beberapa bulan selepas Dato’ Sri Najib dilantik Timbalan Perdana Menteri, menyaksikan beliau memenangi kerusi Parlimen Pekan dengan peningkatan majoriti mendadak iaitu 22,922 undi. Angka itu adalah majoriti tertinggi yang diperoleh pada pilihan raya berkenaan, sekali gus membuktikan kemampuan beliau memenangi hati pengundi sememangnya tidak boleh dipertikaikan.
Pada pilihan raya umum 2008, Dato’ Sri Najib sekali lagi memenangi kerusi parlimen Pekan dengan majoriti lebih besar iaitu 26,464 undi. Ia adalah majoriti paling besar bagi Barisan Nasional di sebalik penurunan sokongan rakyat kepada BN pada pilihan raya itu. Beliau kekal sebagai Menteri Pertahanan sehingga September 2008 apabila mengambil alih jawatan Menteri Kewangan daripada Dato’ Sri Abdullah Ahmad Badawi.
Pada Mac 2009, Dato’ Sri Najib memenangi jawatan Presiden UMNO tanpa bertanding selepas Dato’ Seri Abdullah memutuskan untuk tidak mempertahankan jawatan itu. Seterusnya pada April, Dato’ Seri Abdullah mengumumkan melepaskan jawatan Perdana menteri dan digantikan Dato’ Sri Najib yang kemudiannya mengangkat sumpah jawatan itu. Pada masa yang sama beliau masih memegang jawatan Menteri Kewangan.

Cari Kerja Atau Perniagaan?

Salam,

Sebaik sahaja memasuki universiti atau kolej, ramai pelajar yang akan mula berfikir sama ada nak cari kerja atau sambung belajar bila habis pengajian mereka nanti. Selalunya graduan diploma akan meneruskan pelajaran ke peringkat Ijazah Sarjana Muda, dan ada juga graduan sarjana muda akan menyambung ke peringkat Sarjana. Ada yang akan terus mencari pekerjaan dan tidak kurang juga yang akan terus menceburi bidang perniagaan.

Apa pun perancangan anda, sama ada yang menuntut di sekolah, IPT atau yang sudah bekerja,  blog ini akan cuba membantu anda dalam membuat pilihan tersebut melalui paparan kisah perjalanan kerjaya tokoh-tokoh yang sudah berjaya menjawat jawatan tertinggi dan kisah usahawan yang telah melalui liku-liku untuk menjadi seorang peniaga yang berjaya.

Selamat mengikuti blog Kerjaya & Keusahawanan yang diadakan secara sukarela ini. InsyaAllah, segala usaha yang ikhlas dan diterima dengan ikhlas akan membawa manfaat kepada yang memberi dan menerima.

Terima Kasih.